Kerjasama Rentas Gerakan Bagi Advokasi Haiwan Ternakan Di Asia Tenggara
Latar Belakang
Matlamat pengorganisasian advokasi haiwan ini berpotensi untuk memanfaatkan bukan sahaja haiwan, namun juga kesihatan awam, kesan alam sekitar, dan punca pencarian, menjadikan ramai percaya bahawa dengan meningkatnya kerjasama antara gerakan sosial mungkin boleh meningkatkan impak mereka. Kajian mendapati bahawa penyokong alam sekitar lebih cenderung untuk menjadi penyokong aksi pro-haiwan daripada mereka yang tidak mengendahkannya (Faunalytics, 2023), dan bahawa kerjasama berpotensi antara advokasi haiwan dan pengorganisasian iklim boleh diterima di China, Brazil, dan Amerika Syarikat (Faunalytics, 2024), terutama sekali pada isu-isu seperti advokasi perundangan, pendidikan dan mempromosikan diet berasaskan tumbuhan. Tambahan lagi, kajian dan rangka kerja dasar telah dikembangkan di India (Samayu, 2024) bagi menggalakkan kerjasama antara advokasi haiwan dan gerakan yang lain, melibatkan pembuat dasar dan golongan petani menerusi pendekatan Satu Kesihatan dan prinsip kebingkasan. Namun, Asia Tenggara, sebuah rantau kritikal untuk advokasi haiwan ternakan, masih kekurangan kajian yang setara bagi menyokong penjajaran sedemikian.
Kajian tinjauan ini meneroka landskap gerakan sosial masyarakat Asia Tenggara dengan lebih komprehensif — profil gerakan-gerakan ini, pelaku-pelaku utama, strategi meraih dasar atau lain-lain pelaksanaan matlamat yang lebih meluas, dan pola gerakan-gerakan serantau yang telah bekerjasama sesama mereka. Ia juga melihat kepada tanggapan orang awam terhadap gerakan ini, bagaimana mereka boleh menyokong dan matlamat yang mereka kongsi bersama advokasi haiwan ternakan.
Kajian ini menyelidik gerakan sosial di enam negara Asia Tenggara — Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, dan Vietnam — dipilih kerana populasi manusia dan haiwan yang besar serta kepentingan ekonomi mereka. Setelah sebuah sorotan kajian awal, penyelidik tempatan membantu mengenalpasti organisasi yang utama, kajian yang tak diterbitkan dan kandungan media sosial berkenaan gerakan sosial di negara mereka. Kemudiannya kami memilih dua gerakan bagi analisis mendalam: gerakan persekitaran dan gerakan kesihatan dan pembangunan, fokus kepada pembangunan manusiawi — kesejahteraan hidup, punca pencarian, dan akses kepada perkhidmatan yang asas. Kami mewawancara staf kanan dalam organisasi tersebut, memberikan cerapan khas terhadap gerakan sosial dalam rantau mereka.
Carian ini akan membantu kerjasama masa depan advokasi haiwan ternakan dengan gerakan yang lain, memberikan mereka panduan dalam cara mendekati mereka, bagaimana matlamat mereka mungkin bertindan, dan analisis negara demi negara untuk memberikan nasihat khusus. Laporan ini juga akan membantu para penyelidik memikirkan tentang projek penyelidikan masa depan yang direka untuk menjadikan advokasi dan kerjasama di Asia Tenggara lebih mudah.
Penemuan Utama
- Gerakan persekitaran dan kesihatan/pembangunan persekitaran di Asia Tenggara adalah yang terbaik dalam menunjukkan peluang untuk bekerjasama. Mereka berkongsikan kerpihatinan mereka dengan pejuang advokasi haiwan terutama sekali berkenaan hal diet, perubahan penggunaan tanah, penggunaan antibiotik berlebihan dan limpahan penyakit dalam agrikultur haiwan, dan impak persekitaran dalam penternakan intensif, dan juga impak ekonomi dalam penternakan dari segi mata pencarian komuniti luar bandar dan mereka yang berpendapatan rendah. Ada beberapa organisasi dalam gerakan ini yang telah telibat dalam pengadvokasian yang berkaitan dengan kemapanan dan kesihatan sistem, sekaligus menjadikan mereka rakan strategik yang reseptif untuk advokasi hal haiwan ternakan.
- Tahap kerjasama yang signifikan telah wujud antara dan dalam gerakan-gerakan ini, terutama sekali dalam isu-isu berkaitan iklim, kesihatan, serta isu-isu bersilang. Pertubuhan iklim dan kesihatan sering bekerjasama dalam gabungan kompleks yang meliputi pelbagai kelompok demografi serta bidang-bidang tumpuan. Sebagai tambahan, gabungan pelbagai isu atau gabungan politik yang meluas, seperti yang dikaitkan dengan Parti Maju ke Hadapan di Thailand yang baru-baru ini dibubarkan, telah menghimpunkan gerakan-gerakan yang bekerja dalam isu-isu bersilang. Di samping pakatan formal, wujud juga hubungan tidak rasmi dan sokongan berpeluang rentas tujuan, seperti pertemuan organisasi iklim yang longgar hubungannya dalam merangka kenyataan bersama, membolehkan kerjasama yang lebih fleksibel dan spesifik kepada isu.
- Fungsi gabungan menerusi peranan saling melengkapi, rundingan strategik, serta pendekatan advokasi yang pelbagai. Gabungan efektif mengagihkan peranan berdasarkan kekuatan ahli – sebahagian organisasi memberi tumpuan kepada mobilisasi akar umbi atau penglibatan institusi, sementara gabungan yang lain menyeimbangkan taktik konfrontasi dan diplomatik mengikut konteks. Kejayaan gabungan selalunya bergantung pada kemampuan rakan kongsi untuk membuat rundingan keutamaan bersama, membina kepercayaan dan melibatkan bersama pembuat keputusan secara strategik. Bagi advokasi haiwan, ia memerlukan keseimbangan kompromi dengan matlamat advokasi dan menavigasi dinamik dengan berhati-hati, secara khususnya apabila menyertai gabungan yang telah mantap.
- Faktor politik dan sosial mewujudkan variasi luas dalam kekuatan gerakan serta potensi pembentukan gabungan merentasi negara-negara. Sementara negara-negara seperti Thailand dan Filipina mendapat manfaat daripada gerakan sosial yang dinamik dan penglibatan akar umbi, negara lain seperti Singapura dan Vietnam berdepan kekangan akibat ruang sivik yang terhad serta persekitaran politik yang lebih terbatas. Keterbatasan struktur dan pembiayaan, terutamanya di negara seperti Vietnam dan Malaysia yang mana aktiviti bukan untung dipantau dengan ketat, turut membentuk ruang kerjasama yang bermungkinan. Usaha rentas sempadan dan projek gabungan serantau yang berskala besar mampu menggandakan impak advokasi, memudahkan perkongsian pengetahuan, dan lebih berdaya saing untuk meraih geran dan sokongan (rujuk Lampiran untuk senarai penaja). Namun, gabungan serantau boleh menjadi sukar untuk berkekalan, berikutan kepentingan setempat, konteks politik dan strategi advokasi yang berlainan selalunya memerlukan pendekatan khusus mengikut negara.
- Penjajaran dan kepercayaan merupakan elemen kritikal bagi mendapatkan kerjasama yang efektif. Perkongsian yang berjaya dengan gerakan sosial lain memerlukan kedua-dua peselarasan strategik dan pembinaan kredibiliti. Sebahagian gerakan atau pelaku mungkin memandang advokasi haiwan ternakan sebagai satu isu yang tidak penting atau bercanggah dengan keutamaan mereka, sehingga menimbulkan keraguan untuk bekerjasama. Justeru, para advokat perlu melabur masa dan usaha untuk mencari titik persamaan, membina hubungan dan kredibiliti. Hal ini boleh dicapai menerusi penglibatan dengan rangkaian yang sedia ada, membina keercayaan, dan menunjukkan pensejajaran dengan isu-isu bersama yang meluas, seperti kesihatan awam, mata pencarian dan perlindungan persekitaran, sebelum memperkenalkan isu haiwan ternakan.
- Gerakan sosial mendorong perubahan menerusi kedua-dua pendekatan advokasi atas-bawah dan mobilisasi bawah-atas. Pendekatan pertama memfokuskan kepada penglibatan dasar dan korporat, manakala pendekatan kedua menekankan aksi akar umbi dan perubahan budaya. Pendekatan-pendekatan ini juga berinteraksi dengan dua kelas berbeza dengan pertama, gerakan diterajui golongan elit yang menyasarkan pelaku institusi atau kelas menengah bandar, dan kedua, gerakan akar umbi yang melibatkan komuniti luar bandar atau kelas pekerja. Para advokat perlu mempertimbangkan bagaimana dinamika ini membentuk strategi mereka dan sama ada untuk mengutamakan perubahan institusi, penglibatan akar umbi, atau gabungan kedua-duanya
berdasarkan kapasiti dan konteks tempatan. - Kerjasama antara dan dalam gerakan sosial sering bersifat pragmatik dan berasaskan projek. Di seluruh Asia Tenggara, para advokat dalam gerakan iklim dan kesihatan/pembangunan sering bekerjasama melalui acara bersama, penyelidikan sepunya, kerja-kerja perjanjian, inisiatif pembiayaan bersama, dan perkongsian berasaskan projek. Kerjasama ini sering bermotivasikan oleh manfaat bersama, pensejajaran strategik, atau sokongan praktikal. Gaya fleksibel dan berorientasikan peluang ini membolehkan pelaku membina kepercayaan dan impak tanpa memerlukan pensejajaran nilai yang penuh.
Cadangan
Bagi Para Pendukung
- Ketika berinteraksi dengan individu dari gerakan yang lain, serlahkan matlamat bersama anda dan dengan teliti masukkan poin-poin terbaik ketika dalam perbualan. Para advokat boleh menyesuaikan strategi keterlibatan dan penyampaian mesej bagi menekankan titik pertindihan ini, dengan meletakkan kebajikan haiwan ternakan sebagai sebahagian daripada usaha sosial yang lebih meluas, yang mana boleh menjadi sebuah gabungan untuk jangka masa panjang. Sebagai contoh, jika anda berminat dalam berkerjasama dengan gerakan alam sekitar, adalah membantu untuk memperkatakan tentang amalan-amalan yang tidak mampan yang berkait rapat dengan agrikultur haiwan. Mungkin boleh disertakan poin-poin masukan seperti projek kerjasama, kajian sepunya atau sasaran sepunya.
- Dalam menilai impak, pertimbangkan bukan sahaja manfaatnya kepada haiwan, tetapi juga kesan positif kempen ini terhadap manusia. Para advokat perlu mempertimbangkan bukan sahaja hanya sekadar jumlah haiwan yang terjejas, tetapi juga kemampanan usaha berkaitan dan daya tarikan usaha yang berfokuskan manusia. Isu-isu seperti keselamatan makanan, mata pencarian masyarakat luar bandar dan kesihatan awam
adalah titik masuk semula jadi untuk membentuk kerjasama, dan penyelarasan dengan isu-isu ini dapat mengukuhkan lagi kredibiliti dan keberkesanan jangka panjang. Walaupun pengoptimuman dalam menyelamatkan nyawa haiwan itu penting, pengintegrasian dinamik yang lebih meluas ini dalam proses membuat keputusan dapat membantu menjamin impak yang berkekalan. - Bina jaringan dan kredibiliti bagi mengukuhkan taktik advokasi dasar dan korporat. Dalam konteks yang mana gerakan akar umbi itu terhad, mempengaruhi dasar dan tingkah laku korporat sering memerlukan kita mensasarkan jaringan elit, seperti pelaku korporat, individu berpendapatan tinggi, atau pembuat keputusan utama. Cara ini mungkin melibatkan pembinaan hubungan dengan kumpulan jaringan advokasi berpengaruh, penyertaan aktif dalam acara peringkat tinggi, dan mendapatkan pementoran untuk memperoleh kredibiliti. Dalam persekitaran hubungan rapat yang mana “semua orang saling mengenali”, jaringan luas yang terdiri daripada hubungan tidak rasmi ini boleh memberikan pelbagai manfaat strategik.
- Bina kepercayaan dengan gerakan akar umbi melalui kehadiran fizikal, kesedaran ekonomi, dan penghormatan budaya. Mobilisasi akar umbi boleh membantu membentuk norma budaya dan memperluaskan lagi penglibatan masyarakat. Cukup sekadar hadir — seperti menyertai protes atau aktiviti komuniti — sudah boleh membantu membina kepercayaan dan hubungan baik. Bagi mengukuhkah lagi kerjasama, para advokat juga perlu menghormati preferensi budaya dan menyokong secara aktif kepentingan ekonomi penggiat akar umbi.
- Sesuaikan strategi gabungan berdasarkan konteks dan peluang. Gabungan yang berlainan menawarkan kelebihan yang berbeza. Pakatan formal (contohnya: menyertai gabungan pelbagai isu seperti perubahan iklim) mampu menyediakan sokongan berstruktur dan platform sepunya terutamanya apabila didekati menerusi isu-isu sejajar seperti sistem makanan mampan. Sebaliknya, kerjasama bersifat oportunistik atau berasaskan projek, walaupun dengan kumpulan yang tidak berkongsi semua nilai yang anda ada, masih boleh berkesan apabila wujudnya kepentingan bersama atau peluang pembiayaan bersama. Bersikap fleksibel terhadap jenis gabungan boleh membuka peluang yang tidak disangka-sangka.
Bagi Penyelidik
- Jalankan kajian kes terhadap kerjasama rentas gerakan yang berjaya. Walaupun laporan ini menyorot potensi penyelarasan antara advokasi haiwan ternakan dengan gerakan sosial lain, kajian kes yang lain yang lebih terperinci masih diperlukan. Penyelidik perlu menganalisis kerjasama lampau di Asia Tenggara untuk mengenal pasti penyampaian mesej, struktur gabungan dan perkongsian strategik yang berkesan yang berjaya mendorong perubahan dasar atau perubahan dalam sikap masyarakat.
- Kenal pasti peluang konkrit untuk kerjasama dengan meneliti projek yang sedia ada, dan inisiatif undang-undang yang berkaitan dengan penternakan haiwan. Berdasarkan titik pertindihan yang dikenal pasti dalam laporan ini, penyelidikan haruslah menilai usaha aktif alam sekitar dan kesihatan/pembangunan dan berinteraksi secara langsung dengan gerakan sosial di belakang tabirnya. Pada masa yang sama, penerokaan undang-undang dan polisi khusus — seperti peraturan kebajikan, subsidi, atau piawaian pelabelan — boleh mendedahkan poin leveraj utama yang mana advokasi haiwan ternakan mungkin selari dengan matlamat gerakan yang lebih luas dan mencapai impak dasar yang bermakna.
Berikut, kami kongsikan profil-profil negara individu yang memberikan gambaran ringkas tentang dinamika dalam kerjasama rentas gerakan yang berpotensi. Untuk profil negara lengkap dan cadangan terperinci mengikut negara, sila rujuk laporan penuh.
Menerapkan Semua Penemuan Ini
Kami memahami bahawa laporan seperti ini mengandungi banyak maklumat untuk dipertimbangkan dan melaksanakan dapatan berdasarkan penyelidikan boleh jadi sesuatu yang mencabar. Faunalytics berbesar hati menawarkan sokongan pro bono kepada para advokat dan pertubuhan bukan untung yang memerlukan panduan untuk mengaplikasikan dapatan ini dalam kerja mereka. Sila lawati Sesi Pejabat maya kami atau hubungi kami untuk sokongan.
Di Sebalik Tabir Projek Ini
Pasukan Penyelidik
Ketua pengarang projek ini ialah Jack Stennett (Good Growth), Ella Wong (Good Growth), dan Fiona Rowles (Institut Penyelidikan Sosial dan Ekonomi). Dr. Allison Troy (Faunalytics), Dr. Andie Thompkins (Faunalytics), Dr. Jo Anderson (Faunalytics), dan Jah Ying Chung (Good Growth) meninjau dan menyelia kerja ini. Kami juga menerima sokongan yang penting daripada penyelidik tempatan: Kevin Bautista, Lien Huong Trinh, Napat Tandikul, Nia Nur Pratiwi, Pichayapohn Ritkampee, dan Shenshen Yeoh.
Penghargaan
Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para advokat dan ketua gerakan yang ditemubual untuk kajian ini atas perkongsian pandangan mereka yang bernilai. Kami berterima kasih kepada penderma Faunalytics atas sokongan anda — sumbangan derma anda membolehkan kami menjalankan penyelidikan penting seperti ini untuk membantu anda bertindak bagi kebajikan haiwan.
Terminologi Kajian
Di Faunalytics, kami berusaha menjadikan penyelidikan boleh diakses oleh semua. Kami mengelakkan penggunaan jargon dan terminologi teknikal seboleh mungkin dalam laporan kami. Jika anda menemui istilah atau frasa yang anda tidak biasa, sila rujuk Glosari Faunalytics untuk definisi dan contoh yang mesra pengguna.
Kenyataan Etika Penyelidikan
Seperti semua penyelidikan asal Faunalytics, kajian ini dijalankan mengikut piawaian yang digariskan dalam Dasar Etika Penyelidikan dan Pengendalian Data kami.
Citations:
Stennett, J., Wong, E., Rowles, F., Troy, A., & Thompkins, A. (2025). Cross-Movement Collaboration For Farmed Animal Advocates In Southeast Asia. Faunalytics. https://faunalytics.org/cross-movement-collaboration-for-farmed-animal-advocates-in-southeast-asia/

