Bebas Sangkar Atau Tidak Bebas Sangkar: Itulah Persoalannya
This post has been translated from English to Malay. You can find the original post here.
Kebanyakan pengeluaran telur di dunia berasal dari Asia, lebih 800 bilion telur dihasilkan setiap tahun. Semua telur ini dihasilkan oleh lebih daripada tiga bilion ayam yang kebanyakannya disimpan di dalam sangkar bateri iaitu sangkar dawai yang sempit. Kesemua ayam itu hampir tidak dapat bergerak dalam sangkar dawai itu, apatah lagi dapat berkelakuan secara semula jadi seperti mencari makanan dan mandi habuk. Negara pengeluar telur utama di Asia termasuk China, Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina dan Thailand.
Isu kebajikan haiwan adalah kebimbangan utama dalam proses menternak haiwan dalam sangkar. Tumpuan utama bagi golongan penyokong haiwan adalah mempengaruhi para penternak untuk berhenti menggunakan sangkar. Banyak negara Eropah sudah beralih daripada telur sangkar, tetapi benua Asia masih ketinggalan dalam kedua-dua komitmen untuk menamatkan penggunaan sangkar dan kemajuan ke arah pengeluaran yang bebas sangkar.
Kajian ini menyelidik lebih lanjut tentang perspektif pengeluar telur Asia tentang kebolehlaksanaan menggunakan sistem bebas sangkar, termasuk halangan yang dihadapi dan pandangan mereka tentang penyelesaian yang berpotensi untuk cabaran ini. Para penyelidik menggunakan pendekatan kaedah campuran menggunakan tinjauan yang bertanyakan soalan tertutup dan terbuka. Ini membolehkan analisis kuantitatif dan kualitatif untuk mendapatkan pandangan daripada sejumlah 202 pengeluar di seluruh negara pengeluar telur yang utama. Daripada jumlah ini, 165 ialah pengeluar yang menggunakan sistem sangkar dan 37 ialah pengeluar bebas sangkar.
Untuk tujuan kajian, sistem sangkar ditakrifkan sebagai penggunaan sangkar dawai untuk menempatkan ayam yang bertelur di dalam bangsal, manakala sistem bebas sangkar termasuk kawasan bebas dalaman di bangsal (yang boleh mempunyai satu atau lebih peringkat) dan sistem jarak bebas. Para penyelidik memilih untuk memberikan tumpuan kepada tindak balas daripada para pengeluar dengan sistem sangkar.
Di semua negara, kebanyakan pengeluar (53%) mengenal pasti kemudahan pengurusan sebagai sebab utama untuk menggunakan sangkar. Pada pandangan mereka, sistem sangkar adalah lebih cekap, dapat memaksimumkan pengeluaran telur dan penggunaan tanah sambil mengurangkan kos. Ini sejajar dengan penyelidikan lain yang menunjukkan sistem sangkar UK menghasilkan 5 hingga 7% lebih banyak telur dalam setahun berbanding sistem bebas sangkar. Bahkan, kos sistem bebas sangkar di AS adalah kira-kira 23% lebih tinggi daripada sistem sangkar.
Oleh itu, tidak menghairankan, antara halangan untuk menggunakan sistem bebas sangkar adalah kerana tiada ketersediaan tanah, kos pengeluaran yang lebih tinggi, aspek pengurusan dan pengurangan penyakit. Kebimbangan mengenai ketersediaan tanah turut wujud di China (dikenal pasti oleh 15% pengeluar di sana), sebuah negara yang bersaiz sekurang-kurangnya lima kali lebih besar daripada negara lain dalam kajian itu.
Walaupun wujud semua cabaran ini, kira-kira dua pertiga pengeluar menganggap sistem bebas sangkar sekurang-kurangnya mungkin boleh dilaksanakan di negara mereka, dan 93% pengeluar mengenal pasti sekurang-kurangnya satu sebab untuk menggunakan sistem bebas sangkar. Sebab yang paling biasa termasuk meningkatkan tahap kebajikan ayam (30%) dan mendapat akses kepada pasaran khusus dengan pembezaan jenama (21%).
Walau bagaimanapun, apabila ditanya sama ada sistem bebas sangkar boleh dilaksanakan, pelbagai pandangan yang sangat berbeza diterima dari beberapa negara. Tiga perempat pihak pengeluar Thailand tidak bersetuju. Semua responden dari Malaysia pula bersetuju sekurang-kurangnya pada tahap tertentu. Ini amat menarik kerana, ketika ini, hampir 100% telur yang dihasilkan di Malaysia berasal daripada ayam yang dibela dalam sangkar. Keadaan ini adalah peluang unik untuk golongan penyokong haiwan yang bekerja di sana.
Untuk mengatasi halangan kepada pengeluaran bebas sangkar, responden mengenal pasti pembangunan industri, seperti teknologi, perkongsian pengetahuan, dan sokongan dasar, dan pembangunan pasaran, termasuk kenaikan harga dan peningkatan permintaan, sebagai penyelesaian utama. Kebanyakan pengeluar (79%) bersetuju mereka memerlukan sedikit sokongan untuk membuat peralihan. Menurut mereka, antara sokongan yang diperlukan, ialah nasihat teknikal (23%), latihan dan sumber (23%), dan pembiayaan (16%).
Pengeluar menilai pihak kerajaan sebagai pilihan paling popular untuk memberikan sokongan (55%), manakala mereka menilai golongan penyokong sebagai pihak yang paling kurang popular (2%). Ini boleh dijelaskan melalui beberapa penyelesaian yang dicadangkan, seperti seorang pengeluar Indonesia yang menyatakan dasar kerajaan yang menetapkan had harga atas telur, tidak menggalakkan pihak pengeluar untuk beralih daripada penggunaan sangkar.
Walaupun pengeluar ini menentang penyokong, ada peluang besar bagi penyokong untuk mempengaruhi pihak kerajaan dengan melobi, menawarkan bimbingan dan menyediakan sumber untuk memacu undang-undang yang menghapuskan pengeluaran telur sangkar secara berperingkat.
Walaupun undang-undang itu tidak wujud, permintaan pengguna untuk telur yang dihasilkan dengan mempertimbangkan elemen kebajikan yang lebih tinggi semakin meningkat di semua negara ini, dan para penyokong boleh membina momentum ini. Penyelidikan terdahulu menunjukkan lebih dua pertiga pengguna telur di China, Malaysia, Filipina dan Thailand merasakan kebajikan ayam adalah penting kepada mereka. Para pengeluar mungkin diberi insentif untuk beralih kepada pengeluaran tanpa sangkar untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat. Selain itu, terdapat peningkatan bilangan komitmen daripada syarikat makanan multinasional untuk mendapatkan telur bebas sangkar, memberikan motivasi selanjutnya untuk beralih daripada penghasilkan telur dalam sangkar.
Penulis mencadangkan beberapa inisiatif untuk menggalakkan pengeluaran telur bebas sangkar di Asia, termasuk:
- Demonstrasi daya maju komersial ladang bebas sangkar moden;
- Meningkatkan tahap kecekapan dan amalan pengurusan di ladang bebas sangkar;
- Meningkatkan kemahiran para petani dan menyediakan teknologi untuk meningkatkan aspek kebajikan dan pengurusan di ladang bebas sangkar; dan
- Bekerjasama dengan pihak kerajaan dan industri untuk mengatasi halangan yang dibangkitkan dan menyokong peralihan kepada ladang bebas sangkar.
Walaupun penyelidikan ini ialah kajian asas awal, ia memberikan pandangan berguna kepada golongan penyokong untuk memahami tindakan utama yang diperlukan untuk menamatkan pengeluaran telur sangkar di Asia. Tindakan mempromosikan dasar kebajikan haiwan untuk pihak kerajaan dan perniagaan, golongan penyokong haiwan secara tidak langsung boleh mempengaruhi pengeluar telur sangkar dan memacu peralihan ke arah pengeluaran telur bebas sangkar.
https://doi.org/10.3389/fvets.2022.1038362

