Takrifan Kebajikan Haiwan Positif
This post has been translated from English to Malay. You can find the original post here.
Apabila kita memahami perasaan haiwan dengan lebih baik, kita juga akan dapat memahami konsep kebajikan haiwan dengan lebih baik. Sains kebajikan haiwan secara tradisinya memberikan tumpuan kepada meminimumkan penderitaan haiwan yang disebabkan oleh kesakitan, ketakutan dan kesusahan. Walau bagaimanapun, kebajikan haiwan yang positif akan mengalihkan tumpuan daripada sekadar menghalang pengalaman negatif kepada mempromosikan pengalaman positif secara aktif. Tiada penderitaan tidak bermakna haiwan itu berkembang maju. Kebajikan haiwan yang positif akan memberikan perhatian yang jelas kepada aspek positif kehidupan haiwan, serta menawarkan peluang untuk meningkatkan kebajikan haiwan.
Persepsi awam sudah pun mengaitkan kebajikan haiwan dengan pengalaman positif. Pihak industri perlu menyesuaikan diri untuk memenuhi jangkaan ini. Pemasaran produk daripada “haiwan gembira” hanyalah satu contoh perkara ini. Malangnya, penerangan yang tidak konsisten tentang kebajikan haiwan yang positif menjadikannya sukar untuk mengesahkan perkara ini dan tuntutan lain sepertinya.
Oleh itu, penulis menulis kertas kerja ini dengan tujuan untuk mewujudkan definisi yang jelas tentang kebajikan haiwan yang positif sebagai langkah mencapai pemahaman seragam, yang boleh membimbing penyelidikan saintifik dan mewujudkan rangka kerja untuk kajian masa depan. Artikel itu membentangkan definisi yang dipersetujui dan menerangkan kepentingannya.
Rangkaian untuk “Meletakkan asas kebajikan haiwan yang positif” (LIFT), yang terdiri daripada lebih 330 saintis dari 42 negara, diwujudkan untuk memajukan pemahaman saintifik tentang kebajikan haiwan yang positif. Bagi mewujudkan konsensus mengenai konsep itu, subkumpulan saintis ini melengkapkan tinjauan dan terlibat dalam sesi sumbang saran, perbincangan dan undian selama dua hari.
Akhirnya, kumpulan penyelidikan antara disiplin mencapai definisi konsensus berikut mengenai kebajikan haiwan yang positif:
Kebajikan haiwan yang positif ditakrifkan sebagai haiwan yang berkembang pesat melalui pengalaman keadaan mental yang kebanyakannya positif dan pembangunan kecekapan serta daya tahan. Kebajikan haiwan yang positif sememangnya lebih daripada sekadar memastikan kesihatan fizikal yang baik dan pencegahan serta pengurangan tahap penderitaan. Keadaan mental yang positif terhasil daripada pengalaman yang memberikan ganjaran, termasuk mempunyai pilihan dan peluang untuk mencapai matlamat secara aktif dan mencapai hasil yang diingini, mengikut keupayaan khusus spesies dan individu. Faktor genetik, perkembangan dan pengalaman (cth., pranatal, kehidupan awal, persekitaran) menyumbang kepada perbezaan individu dalam keupayaan untuk mencapai kebajikan haiwan yang positif. Kebajikan haiwan yang positif boleh dinilai menggunakan penunjuk berasaskan haiwan dan boleh dinilai dalam skala masa yang berbeza, yang seterusnya menyumbang kepada gambaran seumur hidup.
Artikel itu menerangkan lebih lanjut tentang istilah dan konsep utama dalam definisi. Sebagai contoh, perkembangan yang positif menghubungkan kesejahteraan fizikal dan mental dan dibentangkan sebagai matlamat aspirasi untuk saintis dan penjaga haiwan. Oleh itu, pengarang menyedari bahawa lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengukur semua perkara itu dalam spesies haiwan.
Penulis menekankan kebajikan haiwan yang positif tidak boleh dicapai dengan hanya menghapuskan keadaan negatif. Walaupun mengurangkan tahap penderitaan boleh membawa kepada keadaan mental yang positif, seperti kelegaan, itu sahaja tidak mencukupi untuk mewujudkan kebajikan haiwan yang positif. Sebagai contoh, tindakan merawat kepincangan boleh mengurangkan kesakitan, tetap tidak semestinya akan menggalakkan kesejahteraan yang positif. Begitu juga, tumpuan berfokus pada aspek kebajikan haiwan seperti kesihatan fizikal yang baik bukanlah penunjuk yang sesuai untuk tahap kebajikan haiwan yang positif. Sebagai contoh, walaupun sangkar tandus boleh mengurangkan risiko penyakit, ia juga akan menyekat tingkah laku semula jadi, yang boleh mengakibatkan kekecewaan dan kebimbangan kebajikan yang lain.
Kebajikan haiwan yang positif menawarkan perspektif baharu tentang kebajikan haiwan dengan mengalihkan tumpuan kepada proses meningkatkan tahap kehidupan haiwan secara aktif. Pendekatan ini bukan sahaja memberikan penekanan untuk mengelakkan masalah tetapi juga menggalakkan tahap kesejahteraan secara keseluruhan. Sebagai contoh, pertimbangkan kandang dalaman untuk anak lembu tenusu. Pendapat saintifik baru-baru ini daripada Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA) mencadangkan anak lembu memerlukan ruang seluas tiga meter persegi untuk mengelakkan ketidakselesaan semasa berehat. Ini menangani isu dari perspektif “kekurangan”, dan memberikan tumpuan kepada meminimumkan kesusahan. Sebaliknya, pendekatan kebajikan haiwan yang positif akan mencadangkan untuk menyediakan ruang seluas 20 meter persegi untuk setiap anak lembu, memberi mereka ruang secukupnya untuk proses pengayaan dan peluang untuk bermain sepuas hati sepenuhnya. Bukan sekadar mengelakkan bahaya, pendekatan ini secara aktif memupuk pengalaman yang bermanfaat, dan memastikan tahap kesejahteraan yang lebih baik untuk anak lembu.
Takrifan progresif dan aspirasi mengenai kebajikan haiwan positif ini boleh memberikan inspirasi kepada kaedah penyelidikan baharu untuk menilai tahap kebajikan haiwan. Walau bagaimanapun, beberapa cabaran masih ada, terutamanya dengan istilah “pengalaman”, iaitu perasaan haiwan. Memandangkan perasaan haiwan masih menjadi subjek perdebatan dan sukar untuk diukur, tidak semua pendapat saintifik bersetuju mengenai perkara ini.
Penulis menyimpulkan takrif baharu kebajikan haiwan positif ini boleh memberikan tekanan ke atas amalan penjagaan haiwan, perundangan dan pasaran bagi memastikan ia sejajar dengan jangkaan masyarakat yang berkembang tentang cara haiwan dirawat. Walaupun definisi semasa mungkin memerlukan kemas kini semasa penyelidikan berkembang, penulis optimis ini akan membantu membimbing penyelidikan masa depan dan memberikan inspirasi kepada kemajuan.
Bagi golongan penyokong haiwan, rangka kerja ini menawarkan peluang untuk mendorong standard kebajikan yang lebih tinggi. Apabila memberikan tumpuan kepada pengayaan dan pengalaman positif, golongan penyokong haiwan boleh menggalakkan pihak industri dan penggubal dasar untuk bergerak melangkaui tindakan pengurangan bahaya dan secara aktif meningkatkan kualiti hidup haiwan dalam pelbagai persekitaran.
https://doi.org/10.1098/rsbl.2024.0382

